About the author : Payee Solutions

Satu kaji selidik baru mendapati rasuah bukan sahaja meningkatkan harga barangan, tetapi menyebabkan kenaikan kos pembangunan hartanah sebanyak 14.8 peratus, yang akhirnya perlu ditampung pembeli.

Laporan “Corruption in the Supply Chain: Forms and Impacts on Consumers” menampilkan kaji selidik mendalam tentang bagaimana rasuah dalam tiga sektor iaitu pembinaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan berlaku.

Laporan itu disediakan oleh Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) dan Coalition for Business Integrity (CBI).

Dalam webinar pelancaran laporan itu, pengurus penyelidik Ideas, Sri Murniati Yusuf berkata objektif kaji selidik antara lain untuk menunjukkan bagaimana rasuah dapat menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Ratusan orang dalam industri diwawancara tahun lalu. Selain itu, CBI dan Ideas mengadakan rundingan meja bulat tertutup selama dua hari dengan pemegang taruh daripada tiga sektor ini.

“Dalam sektor pembinaan, rasuah berlaku terutama ketika di peringkat pembangunan dan sebelum pembangunan.

“Kami mengenal pasti sejumlah pemberian rasuah untuk melancarkan penukaran tanah dan penghantaran pelan pembinaan. Rasuah dan habuan diberi untuk mendapatkan pekerja asing dan sijil penyiapan,” katanya.

Katanya lagi, salah seorang yang diwawancara berkata jumlah itu boleh merangkumi kira-kira empat hingga 14 peratus kos untuk pembangunan hartanah.

“Ketika peringkat pembangunan, rasuah diberi untuk mendapatkan kontrak daripada pemaju utama, pekerja asing dan ketika pemerolehan bahan pembinaan. Pelbagai pembayaran (akan dibuat) untuk mendapatkan sijil penyiapan,” katanya.

Laporan itu pula menyatakan, orang yang diwawancara menyatakan pemaju utama boleh mengupah kira-kira 200 pekerja asing untuk sesebuah projek dan merasuah antara RM500 hingga RM1,000 kepada agensi terlibat untuk mendapatkan kontrak lima tahun untuk pekerja.

Laporan itu menunjukkan satu kes melibatkan projek pembangunan bernilai RM100 juta, dengan sejumlah RM29.58 juta (14.8 peratus) daripada kos melibatkan bayaran rasuah, termasuk RM6 juta untuk permohonan permit.

Ia turut menunjukkan satu lagi kes, di mana sejumlah RM29.08 juta rasuah diberikan untuk memudahkan perjalanan projek pembangunan hartanah bernilai RM500 juta. Jumlah itu merangkumi 5.8 peratus daripada jumlah kos keseluruhan.

Laporan itu juga menyatakan ramai yang diwawancara – walaupun maklum terbeban dengan amalan rasuah yang berlaku – tidak menganggap “hiburan” dan belanja makanan sebagai satu bentuk rasuah, tetapi hanyalah kos perniagaan.

[Baca berita asal]


Source link

About the author : Payee Solutions

Leave A Comment