About the author : Payee Solutions

Projek ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi di Felcra Seberang Perak, Perak bukan sebahagian daripada program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), kata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Smart SBB dan projek ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi itu merupakan dua inisiatif yang berbeza,” kata MAFI dalam kenyataan hari ini serta menegaskan strategi pelaksanaan Smart SBB tidak berubah.

Smart SBB adalah program penyatuan tanah sawah berskala besar bagi meningkatkan produktiviti sawah melalui pengurusan sumber secara optimum dan cekap serta meningkatkan pendapatan pesawah. Ia melibatkan kerjasama strategik sektor awam, swasta dan beberapa syarikat peneraju.

Menurut MAFI, projek ternakan udang galah seluas 1.08 hektar itu adalah projek rintis melalui kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dan sebuah syarikat swasta yang bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi.

MAFI mengulas kenyataan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) pada 3 Ogos yang menolak rancangan Smart SBB.

PeSAWAH dan FKMM juga mendakwa sekiranya tanah sawah telah dijadikan kolam udang, ia akan membawa masalah lain seperti pencemaran tanah dan air, malah tidak sesuai lagi ditukar kembali kepada sawah apabila tempoh pajakan berakhir.

MAFI menjelaskan bahawa pelaksanaan Smart SBB melibatkan para pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan dengan kementerian sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan untuk memastikan inisiatif itu dapat dilaksanakan secara efektif dan mencapai objektif yang dihasratkan.

Menurut MAFI, Smart SBB akan membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi per metrik tan setahun sehingga 191 peratus dan nilai pendapatan tahunan sehingga 47 peratus menerusi peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 kepada 7.0 metrik tan.

“Inisiatif itu juga akan membolehkan pelaksanaan pendekatan baharu melalui konsep pertanian moden seperti pelaksanaan sistem profil tanah, pertanian pintar, kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (IoT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk meningkatkan hasil per hektar,” menurut MAFI.

Program Smart SBB dilaksanakan oleh jabatan dan agensi MAFI iaitu Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan IADA selaku penyelaras dan pemantau program berkenaan.

– Bernama


Source link

About the author : Payee Solutions

Leave A Comment