About the author : Payee Solutions

Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) hari ini menggesa menteri-menteri yang bertanggungjawab “mengelirukan parlimen” berhubung pembatalan ordinan darurat minggu lalu bertanggungjawab sepenuhnya.

AAS dalam satu kenyataan berkata, ini kerana proses pembatalan ordinan darurat itu telah dibuat tanpa proses yang sewajarnya, yang secara efektif telah menghalang parlimen dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya.

Kata AAS, sidang parlimen khas yang berlangsung sepanjang minggu lalu adalah urusan penting, yang diharapkan dapat membincangkan isu-isu penting dalam usaha meringankan penderitaan rakyat ekoran pandemik Covid-19 dan selepas perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.

Mengulas lanjut, AAS berkata pihaknya kecewa dengan pembatalan ordinan darurat yang dibuat kerajaan secara mengejut dan tanpa perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

Kata mereka, tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan.

“AAS menganggap tindakan seperti itu bertentangan dengan hakikat dan semangat Perlembagaan, dan percubaan untuk mendahului Parlimen itu sendiri telah menyebabkan banyak kekacauan di seluruh negara yang menyebabkan ketidakpercayaan terhadap kemampuan kerajaan sekarang dalam memerangi Covid-19 pandemik dan dalam meningkatkan kehidupan dan kehidupan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi Malaysia.

“Tindakan tidak berperlembagaan seperti itu tidak boleh, pada bila-bila masa atau tempat, dimaafkan,” kata kenyataan itu.

Oleh yang demikian, AAS meminta kerajaan untuk mengizinkan parlimen dan semua anggota parlimen menjalankan tanggungjawab mereka, manakala mereka yang cuba mengelirukan Dewan haruslah dipertanggungjawabkan.

“Orang yang bertanggungjawab mengelirukan parlimen harus bertanggungjawab penuh atas tindakan mereka,” kata mereka.

Walaupun tidak secara langsung menamakan individu yang harus dipertanggungjawabkan, namun dipercayai kenyataan itu merujuk kepada Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan.

Untuk rekod, semasa hari pertama sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu, Takiyuddin mengejutkan Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kabinet sudah bersetuju membatalkan enam ordinan darurat.

Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu kemudian mengundang polemik perlembagaan di antara kuasa kabinet dan Agong.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan rasa amat dukacita Agong terhadap cara ordinan darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.


Source link

About the author : Payee Solutions

Leave A Comment