About the author : Payee Solutions

Ibu bapa mana yang tak teruja menyambut kelahiran bayi, namun lain pula yang jadi terhadap pasangan suami isteri di Amerika Syarikat ini. Sebaliknya, mereka kecewa sebaik sahaja melihat wajah bayi mereka yang mengalami luka dalam, dipercayai akibat terkena pisau semasa pembedahan.

Lapor The Sun UK, bayi perempuan bernama itu terpaksa menjalani pembedahan dengan 13 jahitan pada pipi kirinya bagi menutup luka tersebut dengan segera selepas dilahirkan di Colorado pada Rabu.

“Ia menyedihkan. Dia tidak selesa,” kata ayah kepada bayi berkenaan.

Kredit: The Sun UK

Menurutnya dan isteri, mereka merancang untuk bersalin secara normal pada awalnya, namun si ibu dikatakan telah diberi pil untuk mempercepatkan kelahiran dan dikejarkan ke bilik pembedahan bagi menjalani pembedahan kecemasan.

“Mereka kata bayi kami bergerak secara tiba-tiba, mereka tak dapat dengar atau cari degupan jantungnya dan terus lakukan c-section,” kata si ayah.

Sebaik sahaja dilahirkan, pasangan itu mendakwa mereka kecewa melihat luka dalam pada wajah bayi tersebut.

Katanya, pihak doktor mendakwa kepala bayi berkenaan berada dekat dengan uri (plasenta) semasa pembedahan berjalan.

“Saya cuba memahami apa yang berlaku, tapi hakikat wajahnya terpotong dan terpaksa dirawat pakar bedah plastik, banyak perkara saya tak faham dengan pembedahan itu,” ujar si ibu.

“Saya tak pernah dengar sesiapa berhadapan dengan situasi di mana bayi mereka berwajah begini selepas pembedahan.”

Sementara itu, nenek mangsa menegaskan pihak doktor perlu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

“Mereka perlu bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan,” kata nenek itu.

Susulan itu, keluarga mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas pihak hospital yang terlibat. Mereka juga dilaporkan membuat kutipan dana untuk menampung kos guaman bagi mempertimbangkan pilihan undang-undang ke atas pihak hospital.

Kes itu merupakan kejadian yang amat jarang berlaku, lapor Fox31.

“Saya dah menyambut sekitar 2,500 bayi dan bantu pembedahan, ini pertama kali saya lihat kes itu,” kata seorang jururawat seperti dipetik The Sun.

“Ia boleh berlaku, tetapi amat jarang sekali.”

Kajian oleh Child Health and Human Development Maternal-Fetal Medicine Units Network mendapati hanya 0.7 peratus bayi daripada lebih 37,000 kelahiran caesarean di 13 buah hospital berbeza antara 1999 dan 2000 yang mengalami calar.

Kredit: The Sun UK

Sementara itu, pihak hospital yang menguruskan bayi berkenaan telah mengesahkan kejadian itu dan sedang berhubung dengan keluarga mangsa.

“Mereka sedang berhubung dengan keluarga berkenaan secara terus. Walaupun ini adalah komplikasi perubatan dalam pembedahan kecemasan, fokus kami adalah untuk menyediakan penjagaan terbaik buat ibu dan anak,” ujar jurucakap institusi berkenaan.

“Di sini, keselamatan dan kesejahteraan pesakit adalah prioriti pertama kami.”

Sumber: The Sun UK


Source link

About the author : Payee Solutions

Leave A Comment