About the author : Payee Solutions

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kalau ikut ‘pemahaman’ dan amalan kebiasaan yang dibuat dalam kalangan orang kita, tuala wanita yang kotor perlu dicuci terlebih dahulu sebelum dibuang.

Mengikut cara orang-orang kampung pula, ada sebahagiannya akan menanam tuala tersebut dalam tanah. Tujuan ia dicuci atau ditanam adalah kerana dibimbangi akan menjadi ‘buruan’ makhluk halus.

Bagaimanapun, sejauh manakah ‘kesahihan’ amalan ini? Benarkan tuala wanita boleh dibuang begitu sahaja tanpa dicuci? Mari ikuti perkongsian oleh bekas penyelidik kimia, Asmah Chem di bawah ini.

Mungkin ramai masih terlepas pandang, tuala wanita tak perlu dicuci, kena terus buang

Perkara ni semacam taboo kalau dibincang di ruangan terbuka. Tapi untuk maslahat semua, rasanya perlu diberitahu. Semua wanita boleh baca, suami pun boleh sampaikan kepada isteri.

Sehingga ke hari ini masih ramai yang amalkan tradisi cuci tuala wanita sebelum dibuang. Sebenarnya perbuatan tersebut membazir air, masa dan tenaga. Malah boleh menambah kekotoran dan penyebaran kuman di bilik mandi atau tandas.

Tuala wanita telah direka cipta untuk memerangkap aliran darah dengan baik dan berkesan. Tindakan mencuci tuala wanita adalah sesuatu yg merugikan kerana darah haid/istihadhoh tersebut telah meresap masuk dalam kapas atau gel, amat sukar membersihkannya kecuali menggunakan Clorox.

Malah cebisan kapas yang hancur akibat diberus, dipijat-pijat tetap mengandungi darah.

Masalah air, tandas berbau busuk

Teringat sewaktu saya di asrama sekolah menengah lebih 20 tahun dulu, masalah kekurangan air sudah menjadi rutin. Kadang-kala aliran air sangat perlahan di bilik mandi.

Akibat kaedah klasik mencuci tuala wanita menyebabkan bilik air berbau busuk kerana kotoran darah yang tidak dapat dicuci bersih. Padahal sanitary bin telah disediakan, tetapi masing-masing tetap mencucinya.

Di waktu itu, pihak guru perempuan dan warden juga menjadikan syarat supaya tuala wanita dicuci sebelum membuangnya.

Sedangkan cukup dengan membungkus dengan tisu/kertas dan buang saja ke dalam sanitary bin sudah menepati kaedah pelupusan sebenar.

Sama keadaannya macam lampin bayi

Sama keadaannya bila anak-anak kencing dan berak di dalam pampers, tidak pernah ada yang mencucinya sebelum membuang. 

Begitu juga sekiranya seseorang membersihkan luka dengan kapas waima luka parah bernanah busuk sekalipun, tentu sekali kita tidak mencuci kapas tersebut sebelum membuangnya.

Pihak Kementerian Kesihatan juga telah memperbetulkan salah faham ini tetapi masih ramai yang tidak tahu. Perbincangannya juga telah dikupas oleh Mufti Wilayah tapi masih ramai yang tetap berasa bahawa mencuci tuala wanita adalah kewajipan.

Diharap tradisi klasik mencuci tuala wanita dapat ditinggalkan. Tradisi ini juga amat melelahkan wanita-wanita bersalin dan berpantang sejak berzaman.

Jangan ada lagi kefahaman mengarut yang mengatakan darah haid/istihadhoh menjadi makanan jin dan hantu jika tidak dicuci. Buang najis dalam keadaan kering lebih elok daripada membuangnya dalam keadaan basah. Wallahua’lam.

*penjelasan hukum mencuci tuala wanita oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan boleh baca di sini.

Nota: Asmah Chem merupakan seorang bekas guru kimia di Maahad Tahfiz Al-Quran Hira serta bekas penyelidik kimia di Atta-ur-Rahman Institute. Kini menjadi pemilik Tropika Freshmart, Bangi dengan menjalankan perniagaan & pembekal utama hasil laut bebas formalin.

Sumber: Asmah Chem


Source link

About the author : Payee Solutions

Leave A Comment