About the author : Payee Solutions

Ibadah korban merujuk kepada peristiwa Nabi Ibrahim A.S dan anaknya, Nabi Ismail A.S. Peristiwa tersebut merupakan satu mukjizat besar buat seluruh umat Islam. Bagi memperingati peristiwa ini, setiap tahun pada 10 Zul Hijjah (kalendar Islam), umat Islam di seluruh dunia akan menunaikan solat sunat Aidiladha dan kemudian bergotong-royong menjalankan ibadah penyembelihan haiwan ternakan, seperti lembu, kambing dan unta. Bahagian daging korban tersebut akan diagihkan kepada seluruh penduduk kawasan yang terlibat dengan mengutamakan golongan asnaf, ibu tunggal dan mualaf.

Pada tahun ini, hampir kesemua negeri telah diberi kebenaran untuk melaksanakan ibadah korban dan solat sunat Aidiladha yang bergantung kepada keputusan di peringkat negeri masing-masing, kecuali negeri Sarawak. Walau bagaimanapun, pelaksanaan ibadah korban adalah dilarang sama sekali bagi daerah atau kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ringkasan tatacara solat sunat Aidiladha

  • Solat sunat Aidiladha dan khutbah hari raya perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat sambil menjaga tertib dan rukun yang asal.
  • Bagi solat sunat Aidiladha, imam digalakkan untuk membaca surah atau ayat yang pendek.
  • Bacaan khutbah pula perlu dipendekkan oleh khatib dengan sebaik mungkin baca kedua-dua bacaan khutbah pertama dan kedua.
  • Bilangan jumlah jemaah tidak boleh melebihi 50 jemaah.
  • Takbir Raya hanya dibenarkan di masjid dan surau, manakala Takbir Raya dari rumah ke rumah tidak dibenarkan sama sekali.
  • Ahli jawatankuasa masjid atau surau perlu membuat penandaan jarak antara jemaah sekurang-kurangnya 1 meter.

Untuk pembacaan yang lebih menyeluruh tentang SOP solat sunat Aidiladha, sila klik di pautan ini.

Ringkasan tatacara ibadah korban

1. Mendapatkan kelulusan ibadah korban

Setiap negeri digalak untuk menjalankan proses penyembelihan di mana-mana rumah penyembelihan yang dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Mana-mana pihak penganjur yang ingin menjalankan proses penyembelihan di lokasi lain seperti masjid atau surau, perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

2. Proses penyembelihan korban

Bilangan ternakan dan petugas pula adalah berbeza bergantung kepada SOP negeri masing-masing. Sebagai contoh, negeri Melaka menetapkan sebanyak lima ekor ternakan sahaja bagi setiap hari, dan hanya membenarkan 25 petugas yang berdaftar sahaja

3. Agihan bahagian daging korban

Agihan daging korban boleh dilakukan melalui penghantaran dari rumah ke rumah oleh petugas yang berdaftar. Daging korban juga boleh diagihkan melalui kehadiran peserta ke tempat penyembelihan bergantung kepada SOP yang telah ditetapkan.

Untuk pembacaan yang lebih menyeluruh tentang SOP ibadah korban, sila klik di pautan ini.

Selain daripada kaedah korban tradisional, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan yang menawarkan pengalaman korban secara digital.

Apa itu ibadah korban dalam talian?

Memang tidak dinafikan bahawa kaedah melakukan ibadah korban yang terbaik adalah dilakukan sendiri, dilihat depan mata, dan kemudian diagihkan kepada penduduk setempat, tetapi cara ini adalah mustahil buat masa sekarang.

Sebagai alternatif, umat Islam di Malaysia boleh memanfaatkan pelaksanaan ibadah korban dalam talian atau secara digital. Pelaksanaan ibadah korban dalam talian diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai yang ingin bersedekah tetapi kurang berkemampuan.

Misalnya, harga haiwan ternakan di sesetengah negara Islam jauh lebih murah berbanding harga haiwan ternakan di dalam Malaysia. Secara purata, harga satu bahagian lembu korban di Malaysia adalah sekitar RM650 – RM800, manakala di negara seperti Bangladesh atau Kemboja, harganya cuma sekitar RM320.

Sebagai contoh, anda boleh menggunakan perkhidmatan ibadah korban IKHLAS yang menawarkan pakej Korban Luar Negara, pada harga serendah RM320. Harga ini lebih berpatutan bagi mereka yang khuatir tentang faktor kemampuan.

Ada juga penyedia yang menawarkan ibadah korban di Palestin. Tetapi pada harga yang jauh lebih mahal kerana bumi Palestin merupakan tanah peperangan, haiwan ternakan pula perlu diimport dari negara luar dan cukai tinggi yang dikenakan oleh kerajaan Israel.

Adakah ibadah korban dalam talian diiktiraf?

Meskipun alternatif baharu ini menyediakan kemudahan untuk melakukan ibadah korban, apakah jaminan bahawa wang anda akan digunakan untuk ibadah korban?

Kita sering terdengar tentang berita penipuan pakej umrah dan haji yang ditawarkan oleh beberapa agensi pelancongan sebelum ini. Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyatakan “Jika sesetengah pihak sanggup menipu pakej umrah dan haji, apatah lagi hal ibadah lain termasuk ibadah korban”. PPIM menggesa orang ramai supaya berurusan dengan pihak yang benar-benar bertanggungjawab dan jujur, atau mana-mana pihak yang sudah dikenali atau berpengalaman melakukan ibadah korban dalam talian.

Setakat ini, tiada senarai pengiktirafan organisasi ibadah korban yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) atau mana-mana pihak berkuasa. Jadi, penting untuk anda menyemak dan menilai jenis perkhidmatan, latar belakang dan pengiktirafan sesebuah agensi atau yayasan tersebut sebelum berurusan untuk melakukan ibadah korban.

Tanpa mengira kaedah dan saluran ibadah korban pilihan anda pada tahun ini, apa yang penting adalah niat dan keikhlasan dalam memahami maksud pengorbanan yang sebenar. Semoga kita semua berjaya memelihara dan menyesuaikan kehidupan kita semasa negara berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

 




Source link

About the author : Payee Solutions

Leave A Comment